Saturday, March 23, 2013

Tahniah RenaIXance!

Assalamualaikum, salam sejahtera dan salam OASiS.

Pada tarikh 21 Mac 2013, keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk calon SPM 2012 telah diumumkan. Seramai 13,721 daripada 472,541 calon yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2012 berjaya mendapat gred A bagi semua mata pelajaran yang diambil. Pada tarikh keramat itu juga menyaksikan tibanya perkhabaran gembira kepada seluruh warga ASiS dan OASiS, lebih-lebih lagi guru-guru dan juga calon SPM 2012, iaitu pelajar batch ke-9 ASiS, RenaIXance.

Keputusan SPM 2012 ASiS begitu membanggakan! Dengan Gred Purata Sekolah (GPS) 1.1870, ASiS menduduki tangga ke-4 dalam kalangan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) seluruh negara. Lonjakan saujana yang begitu hebat telah dizahirkan oleh warga RenaIXance, apabila dibandingkan keputusan SPM 2012 dengan tahun sebelumnya, iaitu ASiS menduduki tempat ke-11 dalam kalangan SBP dengan gred purata 1.4357.



Dengan keputusan ini, ASiS sekali lagi menduduki tempat pertama di Wilayah Persekutuan. Pastinya, kejayaan ini tiada dalam genggaman warga RenaIXance sekiranya tiada usaha keras daripada guru-guru yang sentiasa membantu setiap masa dan selalu ada jika diperlukan. Jutaan tahniah kepada guru-guru dan para pelajar atas usaha yang dilakukan selama ini yang jelas telah membuahkan hasil.

Kedudukan SBP untuk SPM 2012:


Untuk pengetahuan anda, daripada 288 orang calon SPM 2012 di ASiS, 129 orang calon mendapat semua A, dan 6 orang berjaya mendapat keputusan semua A+. Peningkatan ketara pada GPS juga dapat dilihat, iaitu sebanyak 17.32%.

Sekitar pengumuman keputusan SPM 2012 di ASiS:

Para pelajar dan keluarga menanti keputusan dengan penuh debaran

Barisan pentadbir ASiS bersama 6 orang pelajar Terbaik (semua A+) keputusan SPM 2012. Tahniah ASiS, kekal unggul, nombor 1 di Wilayah Persekutuan.

Wajah-wajah ceria pada hari keramat

Sekali lagi, sekalung tahniah daripada kami, warga OASiS kepada warga RenaIXance dan juga kepada guru-guru yang selama ini bersusah-payah mendidik para teknokrat ASiS sehingga menggapai kejayaan. Kepada para pelajar batch ke-9, semoga anda meneruskan momentum kecemerlangan ini dalam bidang yang bakal anda pilih selepas ini. Jangan lupa memilih kursus yang anda inginkan, dan ingat, ukurlah baju di badan sendiri.

Kepada yang berjaya, tahniah dan janganlah pula kecemerlangan itu menjadikan anda lalai dalam pembelajaran di tahap seterusnya kerana perjalanan masih jauh. Kepada yang kurang berjaya, janganlah pula rendah diri kerana anda juga punya hak untuk bergembira kerana anda masih ada peluang untuk bangkit daripada kegagalan hari ini. Gagal sekali bukanlah bermakna anda gagal selamanya. Carilah anugerah daripada kegagalan itu.

Akhir kata, Majulah Sains Alam Shah!

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails