Wednesday, May 15, 2013

Guru ASiS; Guru Sedekad Terbilang l 2003 - 2013 l

Assalamualaikum, salam sejahtera dan salam OASiS.
Hari Guru tiba lagi. Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Guru kepada insan-insan yang bergelar sebagai guru di Malaysia, terutamanya guru-guru ASiS dan bekas-bekas guru ASiS, semoga terus mendidik pelajar dengan penuh dedikasi demi agama, bangsa dan negara.

Dipetik dari akaun Facebook Oldboys ASiS:

Khas buat semua tenaga pengajar dan bekas tenaga pengajar ASiS,

Dalam ajarannya ada harapan,
Dalam tegurnya ada doa,
Dalam marahnya ada sayang,
Dalam diamnya ada kebijaksanaan,
Dalam tangannya ada sahsiah terbina.

Selamat Hari Guru!
&
Terima Kasih Cikgu!

Guru ASiS; Guru Sedekad Terbilang!!

Tulus ikhlas,
Anak-anak didik mu,
Pemimpin-pemimpin bertaraf dunia!
:)



Monday, April 8, 2013

Menjelang Majlis Makan Malam Amal & Anugerah Cemerlang SPM 2013

Assalamualaikum, salam sejahtera dan salam OASiS.

Majlis Makan Malam Amal & Anugerah Cemerlang SPM 2013 akan berlangsung pada 20 April 2013 jam 8.15 malam. OASiS dijemput untuk membeli kerusi (RM50) atau meja (RM1,000). Sasaran kutipan dana untuk ASiS adalah sebanyak RM100,000.00.

Antara objektif kutipan dana:


  1. Menukar karpet surau & kemudahan ruang solat muslimah
  2. Membeli papan rehal untuk surau ASiS
  3. Menambah loker-loker pelajar di kelas-kelas
  4. Melengkapkan peralatan gimnasium/bilik bebanan ASiS
  5. Membaik pulih sistem paip di asrama blok A, B, C dan D
  6. Membaik pulih kerosakan di kelas-kelas


Setakat 4/4/2013, kutipan yang diterima baru menjangkau RM27,500.00, jauh dari matlamat sebenar. Oleh itu, semua OASiS dan batch 9 yang akan menerima anugerah pada malam tersebut diminta mewar-warkan kepada ibu bapa dan rakan-rakan untuk menyumbang bagi memastikan matlamat sasaran ASiS tercapai.

Sebarang pertanyaan sila hubungi Puan Norzila binti Ali Musa untuk tempahan meja atau pembayaran sumbangan di talian 012-3029067 @ terus ke akaun PIBG: CIMB - 14420005635055 (PIBG SM SAINS ALAM SHAH). Semoga setiap sen yang disumbangkan akan membantu ASiS untuk lebih cemerlang dan terbilang. Mudah-mudahan kerjasama yang diberikan bagi menjayakan Majlis Makan Malam Amal dan Anugerah Cemerlang 2013 akan menambah keberkatan dan rahmat Allah SWT dalam kehidupan kita semua. Sama-sama berusaha meningkatkan kecemerlangan ASiS.


Saturday, March 23, 2013

Tahniah RenaIXance!

Assalamualaikum, salam sejahtera dan salam OASiS.

Pada tarikh 21 Mac 2013, keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk calon SPM 2012 telah diumumkan. Seramai 13,721 daripada 472,541 calon yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2012 berjaya mendapat gred A bagi semua mata pelajaran yang diambil. Pada tarikh keramat itu juga menyaksikan tibanya perkhabaran gembira kepada seluruh warga ASiS dan OASiS, lebih-lebih lagi guru-guru dan juga calon SPM 2012, iaitu pelajar batch ke-9 ASiS, RenaIXance.

Keputusan SPM 2012 ASiS begitu membanggakan! Dengan Gred Purata Sekolah (GPS) 1.1870, ASiS menduduki tangga ke-4 dalam kalangan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) seluruh negara. Lonjakan saujana yang begitu hebat telah dizahirkan oleh warga RenaIXance, apabila dibandingkan keputusan SPM 2012 dengan tahun sebelumnya, iaitu ASiS menduduki tempat ke-11 dalam kalangan SBP dengan gred purata 1.4357.



Dengan keputusan ini, ASiS sekali lagi menduduki tempat pertama di Wilayah Persekutuan. Pastinya, kejayaan ini tiada dalam genggaman warga RenaIXance sekiranya tiada usaha keras daripada guru-guru yang sentiasa membantu setiap masa dan selalu ada jika diperlukan. Jutaan tahniah kepada guru-guru dan para pelajar atas usaha yang dilakukan selama ini yang jelas telah membuahkan hasil.

Kedudukan SBP untuk SPM 2012:


Untuk pengetahuan anda, daripada 288 orang calon SPM 2012 di ASiS, 129 orang calon mendapat semua A, dan 6 orang berjaya mendapat keputusan semua A+. Peningkatan ketara pada GPS juga dapat dilihat, iaitu sebanyak 17.32%.

Sekitar pengumuman keputusan SPM 2012 di ASiS:

Para pelajar dan keluarga menanti keputusan dengan penuh debaran

Barisan pentadbir ASiS bersama 6 orang pelajar Terbaik (semua A+) keputusan SPM 2012. Tahniah ASiS, kekal unggul, nombor 1 di Wilayah Persekutuan.

Wajah-wajah ceria pada hari keramat

Sekali lagi, sekalung tahniah daripada kami, warga OASiS kepada warga RenaIXance dan juga kepada guru-guru yang selama ini bersusah-payah mendidik para teknokrat ASiS sehingga menggapai kejayaan. Kepada para pelajar batch ke-9, semoga anda meneruskan momentum kecemerlangan ini dalam bidang yang bakal anda pilih selepas ini. Jangan lupa memilih kursus yang anda inginkan, dan ingat, ukurlah baju di badan sendiri.

Kepada yang berjaya, tahniah dan janganlah pula kecemerlangan itu menjadikan anda lalai dalam pembelajaran di tahap seterusnya kerana perjalanan masih jauh. Kepada yang kurang berjaya, janganlah pula rendah diri kerana anda juga punya hak untuk bergembira kerana anda masih ada peluang untuk bangkit daripada kegagalan hari ini. Gagal sekali bukanlah bermakna anda gagal selamanya. Carilah anugerah daripada kegagalan itu.

Akhir kata, Majulah Sains Alam Shah!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails