Tuesday, September 14, 2010

Salam Lebaran dari Melbourne!


Salam wbt

Walaupun berada di perantauan semasa sambutan hari raya, namun keceriaan tetap terpancar bagi kami (warga OASiS) yang berada di Melbourne, Australia. Sambutannya dikatakan agak meriah, walaupun tarikh hari raya AidilFitri jatuh pada hari persekolahan.

Dengan mngikuti sunah Rasullullah dalam menyambut AidilFitri, kami mulakan pagi raya dengan solat sunat Aidilfitri di beberapa tempat yang disediakan oleh beberapa komuniti muslim di Australia, dengan menggunakan jalan yang berbeza semasa pergi dan pulang dari solat sunat AidilFitri.

Walaupun terpaksa menghadiri kuliah, tutorial dan praktikal, namun kami tetap gembira menghadirinya dengan mengenakan pakaian yang terbaik.

Sambutan hari raya di Melbourne disusuli pula dengan pelbagai jemputan rumah terbuka, di mana makanan yang disediakan tidak kurang hebatnya berbanding dengan apa yang ada di Malaysia. Alhamdulilah kerana kami dapat juga merasa makanan tradisional Melayu termasuklah rendang, nasi himpit, kuah kacang, satay, kuah lodeh dan macam-macam lagi. Tidak ketinggalan pelbagai jenis kuih raya yang dihasilkan sendiri sempena sambutan AidilFitri.

Tradisi kunjung-mengunjung sahabat handai terus diteruskan walaupun berada jauh diperantauan. Ternyata komuniti Malaysia di Melbourne sangat akrab dan kami seperti sebuah keluarga yang besar, walaupun masing-masing tidak mengenali antara satu sama lain pada waktu sebelum ini. Menariknya, hubungan persaudaraan antara bekas pelajar ASiS dilihatkan sangat akrab walaupun berlainan batch.



Dari kiri; Zulfadli Zakaria, Rais Jalal dan Muhammad Izzuddin Jawati

Kami, warga ASiS di Melbourne mengucapkan Selamat Hari Raya AidilFitri, Maaf Zahir dan Batin, Taqabbalallahu minna wa minkum kepada keluarga dan sanak saudara yang berada di Malaysia, guru-guru ASiS yang pernah mengajar kami, pihak penaja dan seluruh umat muslimin dan muslimat yang turut merayakan hari yang berbahagia ini. Alhamdulilah kami berasa bersyukur ke hadrat Ilahi kerana diberikan peluang untuk menyambutnya setelah berhempas pulas mengutip peluang untuk beribadah semasa bulan Ramadhan.

Walaupun sebak didada tidak dapat pulang beraya di tanah air tercinta, tetapi kami tetap bersemangat untuk memeriahkan sambutan AidilFitri di Melbourne, Australia.

Senarai pelajar-pelajar ASiS yang pernah dan sedang berada di Melbourne;
  • Mohd Rahimi B Zakaria@Mamat, Batch Pertama, Biotechnology, University of Melbourne (2007-2009)
  • Zulfadli Zakaria, Batch Kedua, Chemical Engineering, University of Melbourne (2008-kini)
  • Hafiz Kamaruddin, Batch Ketiga, Mechanical Engineering, University of Melbourne (2008-kini)
  • Rais Jalal, Batch Ketiga, Biotechnology, Monash University, Clayton (2009-kini)
  • Muhammad Izzuddin Jawati, Batch Keempat, Chemical Engineering, University of Melbourne, (2010-kini)
  • Muhammad Asyraf Zul, Batch Keempat, Electrical Engineering, University of Melbourne, (2010-kini)

Kami menantikan Batch Kelima datang ke Melbourne! =)

Sekian,

Wasalam,

Zulfadli Zakaria



Sunday, August 15, 2010

Ramadan Kareem

Assalamualaikum w.b.t dan Salam Sejahtera,

Saya bagi pihak admin dan team penulis blog OASiS ingin mengucapkan selamat berpuasa kepada semua warga OASiS keseluruhannya. Mudah-mudahan segala amal dan kebaikan yang kita kerjakan sepanjang bulan yang mulia ini diterima Allah, Insya Allah. Saya ingin menyeru supaya rakan-rakan sekalian mengambil peluang ini yang mungkin tidak akan kita kecapi pada masa-masa akan datang untuk meningkatkan amal-ibadah masing-masing. Penuhilah tiap masa dan ketika yang ada dengan amal-amal sunat seperti bertadarus, qiamullail, solat tarawikh dan lain-lain lagi.

Mungkin anda semua masih ingat akan suasana berpuasa ketika bergelar pelajar ASiS.

Sebermulanya hari-hari di bulan puasa dengan bangun seawal pukul 5 pagi untuk bersahur di dewan makan. Kemudiannya bersiap untuk solat Subuh berjemaah di surau, membaca Quran dan seterusnya ke tapak perhimpunan dan kelas.

Saya masih teringat akan peristiwa yang berlaku ketika P&P yang dijalankan dalam waktu anjal di dewan besar semasa bulan puasa ini. Sedang cikgu yang mengajar di depan, ramai anak-anak muridnya yang tidur. Mungkin kerana letih berpuasa agaknya. Dek kerana kecewa, cikgu tersebut terus berhenti mengajar dan keluar meninggalkan dewan. Apabila saya terkenangkan peristiwa ini, saya tersenyum sendirian. Dan cikgu tersebut sekarang tidak lagi mengajar di ASiS.

Ketika waktu Zuhur, pelajar selalunya tertumpu di surau ASiS untuk solat secara berjemaah dan kebiasaannya tidur sebentar sebelum waktu prep petang bermula. Ada pula yang rajin, bertadarus. Tadarus biasanya diadakan selepas waktu Asar dan dilakukan mengikut kelas. Pada hujung bulan puasa, majlis khatam Quran dan solat hajat untuk peperiksaan SPM diadakan dan ibubapa pelajar juga dijemput untuk hadir.

Waktu petang (waktu riadah), ramai yang turun ke padang bola dan bola keranjang seperti biasa. Ramai juga yang keluar ke Bazar Ramadan di Velodrom berdekatan untuk membeli makanan untuk berbuka puasa. Seawal pukul 6 petang, pelajar-pelajar semua naik ke dorm untuk bersiap-siap untuk berbuka puasa di dewan makan.

Weekend@ASiS 085w

Selesai solat Maghrib dan solat sunat hajat atau taubat, kebiasaannya akan ada sedikit tazkirah atau peringatan yang disampaikan oleh ketua warden atau dari ahli AIC sementara menunggu waktu untuk solat Isyak. Solat sunat tarawikh diadakan selepas solat Isyak, yang mana selalunya tuan pengetua, guru-guru dan warden juga turut bersama dengan pelajar untuk sama-sama solat.

Sepanjang bulan Ramadan ini, prep bermula pada pukul 9 malam dan berakhir dalam pukul 10.30 - 11 malam. Moreh (supper) disediakan di dewan makan dan light-off seperti biasa, pada jam 11.30 malam. Ada juga yang stay-up di kelas masing-masing sehingga pukul 12.30 malam.

Begitulah, sedikit sebanyak yang dapat saya kongsikan tentang pengalaman berpuasa di ASiS suatu ketika dahulu. Mungkin sudah banyak yang berubah semenjak dari masa itu hingga sekarang. Tetapi yang penting, kita perlu mengambil ibrah dari semua pengalaman yang kita peroleh tersebut, Insya Allah.


Nadly Aizat
OASiS0405

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails