Saya bagi pihak admin dan team penulis blog OASiS ingin mengucapkan selamat berpuasa kepada semua warga OASiS keseluruhannya. Mudah-mudahan segala amal dan kebaikan yang kita kerjakan sepanjang bulan yang mulia ini diterima Allah, Insya Allah. Saya ingin menyeru supaya rakan-rakan sekalian mengambil peluang ini yang mungkin tidak akan kita kecapi pada masa-masa akan datang untuk meningkatkan amal-ibadah masing-masing. Penuhilah tiap masa dan ketika yang ada dengan amal-amal sunat seperti bertadarus, qiamullail, solat tarawikh dan lain-lain lagi.
Mungkin anda semua masih ingat akan suasana berpuasa ketika bergelar pelajar ASiS.
Sebermulanya hari-hari di bulan puasa dengan bangun seawal pukul 5 pagi untuk bersahur di dewan makan. Kemudiannya bersiap untuk solat Subuh berjemaah di surau, membaca Quran dan seterusnya ke tapak perhimpunan dan kelas.
Saya masih teringat akan peristiwa yang berlaku ketika P&P yang dijalankan dalam waktu anjal di dewan besar semasa bulan puasa ini. Sedang cikgu yang mengajar di depan, ramai anak-anak muridnya yang tidur. Mungkin kerana letih berpuasa agaknya. Dek kerana kecewa, cikgu tersebut terus berhenti mengajar dan keluar meninggalkan dewan. Apabila saya terkenangkan peristiwa ini, saya tersenyum sendirian. Dan cikgu tersebut sekarang tidak lagi mengajar di ASiS.
Ketika waktu Zuhur, pelajar selalunya tertumpu di surau ASiS untuk solat secara berjemaah dan kebiasaannya tidur sebentar sebelum waktu prep petang bermula. Ada pula yang rajin, bertadarus. Tadarus biasanya diadakan selepas waktu Asar dan dilakukan mengikut kelas. Pada hujung bulan puasa, majlis khatam Quran dan solat hajat untuk peperiksaan SPM diadakan dan ibubapa pelajar juga dijemput untuk hadir.
Waktu petang (waktu riadah), ramai yang turun ke padang bola dan bola keranjang seperti biasa. Ramai juga yang keluar ke Bazar Ramadan di Velodrom berdekatan untuk membeli makanan untuk berbuka puasa. Seawal pukul 6 petang, pelajar-pelajar semua naik ke dorm untuk bersiap-siap untuk berbuka puasa di dewan makan.
Selesai solat Maghrib dan solat sunat hajat atau taubat, kebiasaannya akan ada sedikit tazkirah atau peringatan yang disampaikan oleh ketua warden atau dari ahli AIC sementara menunggu waktu untuk solat Isyak. Solat sunat tarawikh diadakan selepas solat Isyak, yang mana selalunya tuan pengetua, guru-guru dan warden juga turut bersama dengan pelajar untuk sama-sama solat.
Sepanjang bulan Ramadan ini, prep bermula pada pukul 9 malam dan berakhir dalam pukul 10.30 - 11 malam. Moreh (supper) disediakan di dewan makan dan light-off seperti biasa, pada jam 11.30 malam. Ada juga yang stay-up di kelas masing-masing sehingga pukul 12.30 malam.
Begitulah, sedikit sebanyak yang dapat saya kongsikan tentang pengalaman berpuasa di ASiS suatu ketika dahulu. Mungkin sudah banyak yang berubah semenjak dari masa itu hingga sekarang. Tetapi yang penting, kita perlu mengambil ibrah dari semua pengalaman yang kita peroleh tersebut, Insya Allah.
Nadly Aizat
OASiS0405
No comments:
Post a Comment